Tuesday, June 18, 2013

Tanda-Tanda Hampirnya Ramadhan 1434H

Adapun kita ini hampir-hampir benar hendak menempuhi bulan Ramadhan yang mulia. Sudahkah anda bersiap siaga untuk berjuang berhabisan-habisan menentang hawa nafsu di samping menggondol pahala berbakul-bakul? Bagi yang beriman dan yang bertaqwa, sejak habisnya Ramadhan tahun lepas lagi mereka telah mengatur strategi dan berazam untuk meningkatkan amal ibadat serta memperbaiki kekurangan di sana sini bagi Ramadhan yang baru lalu. Makanya, tanda-tanda Ramadhan semakin dekat senantiasa bermain-main di benak. Tak payah diperingatkan pun memang mereka telah cukup sedar bahawa Ramadhan semakin hampir.

Bagi yang tidak begitu soleh pula, sepanjang tahun berjoli sakan, tak sedar pun bilakah akan bermulanya Ramadhan. Bila ditanya, barulah terkira-kira dan terbelek-belek kalendar akan tarikh melihat anak bulan Ramadhan tersebut. Bagi mereka yang sememangnya leka ini akan tiba-tiba tersentak dan tercekik makanan apabila melihat bermacam-macam tanda-tanda akhir bahawa Ramadhan akan muncul. Bukan apa, ada yang rasa leceh, ada yang rasa malas dan tak kurang juga yang akan mula rasa sakit itu sakit ini. Tak kurang juga yang teruja beruk bila Ramadhan semakin hampir sebab biji mata dah berpinar-pinar dengan lambang RM, RM. Teruknyaaa!!! Oklah mari kita lihat tanda-tanda akhir bahawa Kiamat (Opps! Ramadhan) semakin hampir.

* Kedai-kedai dan pasaraya awal-awal lagi sudah memasang kain rentang dan iklan-iklan jualan untuk Aidilfitri. Padahal puasa pun belum.

* Dalam radio dan TV dah mula terdengar bisikan-bisikan berbunyi 'Yusufff Taiyoobbb' yang agak menyeramkan. Bulan-bulan lain tak keluar punya bisikan semacam ini.

* Kaki-kaki peniaga semusim dah mula merancang-rancang nak jual itu, jual ini sepanjang Ramadhan nanti. Bagi yang takde pengalaman buat juadah sedap-sedap tu tak payah la, buat penaya orang yang beli aje. Lagi satu yang jenis top-up dan perangat lauk semalam, bikin sakit perut aje memakannya. Pahala entah ke mana, dosa yang dapat.

* Surau-surau dan masjid-masjid pula dah mula bermesyuarat nak ambil imam dari negara mana pulak untuk mengimami Tarawih. Janji rating masjid naik.

* Tak semena-mena terdengar di sana-sini orang-orang mula menyebut perkataan 'moreh' yang sangat-sangat asing di bulan-bulan yang lain. Kalah kepopularitian perkataan 'Lailatul Qadar' ataupun 'zakat Fitrah'. Kalau pasal makan minum, orang kita memang No. 1.

* Orang-orang yang culas tak nak puasa pula sibuk mencari alasan dan bukti bertulis mengatakan bahawa mereka diserang gastrik. Gastrik bermusim pulak tu.

* Budak-budak nakal dah mula tenang-tenang paip-paip besi atau besi apa-apalah untuk dibuat meriam ataupun mercun buatan sendiri. Yang geramnya, bermula hari pertama puasa akan mulalah berdentum dentum bunyi mercun dan meriam diaorang di sana sini. Kalau budak dulu-dulu, lepas tarawih baru start main. Itupun meriam buluh, tempurung ataupun tin susu.

* Orang-orang perempuan sejak 4,5 bulan yang lepas dah mula sibuk menempah baju raya. Takut-takut tukang jahit dah tak terima tempahan kalau tempah last-last minute. Yang penting baju-baju tu mesti betul-betul 'terletak' di badan, tak mainlah baju-baju beli siap. Padahal kalau pakai tudung tak nampak pun bahu terletak ke tidak (kalau pakai tudung labuh la, kalau tudung ciput, nampak la tak terletaknya).

* Kerja orang perempuan juga, masa-masa inilah mereka mula pening-pening lalat memikirkan warna tema apa pula untuk dipakai secara sedondon satu rumah bagi Aidilfitri tahun ini. Tak sedondon tak sah. Seluar kecik dan 'cermin mata' pun kalau boleh sedondon juga.

* Masih lagi dengan orang perempuan, 2, 3 bulan menjelang Ramadhan ni baru la kelam kabut nak ganti cuti puasa tahun lepas. Kadang-kadang yang ganti sehari sebelum puasa pun ada. Bagi lelaki yang tertinggal puasa juga jangan le buat-buat tak tahu, mentang-mentang le takde pakej cuti-cuti Malaysia bagi lelaki. Orang lain tak tahu tapi Allah tahu.

* Bagi usahawan kuih raya pula tak tahu la bila diaorang start buat kuih raya, tau-tau dah berlonggok-longgok di pasaraya-pasaraya walaupun di awal-awal Ramadhan. Bagi yang suka menempah kuih pula, sekarang ini dan di saat ini dah mula la sibuk menempah. Bagi yang suka membeli kuih raya last minute pula, mereka akan menantikan kuih lelong di malam raya. Bagi yang buat kuih sendiri, ada yang sampai ke subuh raya baru siap.

* Tiket-tiket bas Raya tak lama lagi akan mulalah dibuka untuk tempahan gamaknya. Lama sangat dah tak naik bas, tak tahu sangat azab orang-orang yang nak mendapatkan tiket bas raya ni. Siapa lambat melepaslah.

* Akhir sekali, orang-orang kita akan mula membeli lampu kelip-kelip. Lip lap, lip lap sepanjang puasa dan raya. Lampu tahun lepas dah expired, maka terpaksalah membeli lampu baru saban tahun.

Oklah sampai sini dululah. Adapun, apabila munculnya tanda-tanda akhir akan berpuasa ini, maka haru birulah manusia sekelian alam. Bagi yang beriman akan merasa sangat bahagia kerana akan bertemu semula dengan yang dirindui. Bagi yang tidak beriman pula akan merasa seperti seketul batu besar sedang bergolak-golek dan akan menghempap mereka. Mana taknya, nak sarapan dan makan tengahari pun terseksa jiwa raga. Jenuh sorok-sorok. Bila orang beli makanan untuk berbuka depa pun sibuk sama, buat makan malam.

Bagi yang belum sedar diri, inilah masanya untuk anda mula menyemai benih perubahan. Masih banyak masa lagi sebelum Ramadhan tiba. Bagi yang memang telah sedar, inilah masanya untuk anda memperkuatkan lagi senjata-senjata melawan hawa nafsu di samping memperkukuhkan lagi jentera untuk beramal. Selamat berpuasa dan selamat beramal!

Mozar : Buat pertama kalinya dalam sejarah, praRamadhan akan disambut dengan upacara pemBersihan secara besar-besaran merangkumi masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Kalau dibuat di dalam bulan Ramadhan mungkin akan lebih gempar kot sebab akan jadi ala-ala Perang Badar. Lu pikirlah sendiri, nak cakap pun malas.

Friday, April 26, 2013

Pilih Memilih : Antara Suka, Terpaksa, Dipaksa Atau Langsung Tidak

Tanpa kita sedar atau peduli, saban hari kita terlibat dalam hal-hal pilih memilih ini. Dari celik mata lagi kita sudah mula memilih. Kita memilih nak bangun ke tak nak bangun lagi, padahal alarm dah di set awal-awal nak bangun pada sekian-sekian waktu. Alih-alih bila alarm dah memekak, nak pilih memilih pula. Bila sampai ke bilik air pula kita memilih samada nak mandi air sejuk ataupun air panas. Bila nak gosok gigi pula kita memilih nak pakai cecair kumuran atau menggosok gigi, atau juga tak payah cuci mulut langsung. Pilihan semuanya di tangan anda. Acara pilih memilih ini berlanjutanlah sehingga anda melelepkan mata semula. Pilih nak tidur pukul berapa, nak pilih bantal mana, nak pilih baring posisi mana ataupun nak membaca dulu ke, nak ber ehem-ehem dulu ke sebelum tidur. Pendekata, hidup kita sentiasa dilingkari pilihan demi pilihan.

Apabila kita dihidangkan dengan pelbagai pilihan, kita tidak lepas dari samada membuat pilihan kerana memang kita sukakan sesuatu itu, kita terpaksa membuat pilihan itu, kita dipaksa membuat pilihan ataupun jalan selamat, langsung tak memilih (di atas pagar atau di persimpangan dilema). Mari kita lihat keempat-empat senario ini satu persatu. Jika anda memilih untuk tidak meneruskan pembacaan pun tak apa, tak paksa punya.

Kita memilih kerana suka bila kita memang suka sesuatu itu. Tanpa dipaksa-paksa, tanpa dijolok-jolok, tanpa dimomok-momok atau tanpa dilobi-lobi, kita memang suka. Orang tak payah buang air liur nak kempen nak bagi kita suka. Kita tahu sesuatu itu memang sesuai dengan jiwa dan kehendak kita, takkan menyesal kalau memilihnya. Kita juga tahu, sanggup dan redha menerima risikonya setelah kita membuat pilihan tersebut. Kalau yang dipilih memberi onar kita sanggup menelan pahitnya dan membersih busuknya. Apa-apa jua anasir yang cuba memburuk-burukkan pilihan kita pasti saja kita tentang habis-habisan. Pendekata, muktamad habislah pilihan kita itu, dikerat lapan belas pun masih lagi tidak berganjak dengan keputusan.

Umpama kita memilih sebiji kuih cucur badak, sudah tentu kita akan memilih yang kita suka akan bentuknya yang montok, tidak peset, baunya yang harum ataupun yang nampak garing walaupun rupanya tak ada langsung macam badak. Tapi awas, rasanya belum tentu lagi sedap atau tidak. Ada yang masin, ada yang sangat manis, ada yang basi ataupun yang tawaq habiaq. Itulah risiko dalam memilih benda yang kita tak nampak dari luaran. Nak pilih dengan bijak pun tak kena dalam kes ini sebab inti di dalam siapa yang tahu, kecuali si pembuat cucur badak tersebut.

Kita memilih kerana terpaksa sebab kita tidak mempunyai pilihan lain. Ditelan pahit dibuang sayang. Maka tidaklah dibuang, telan ajelah walaupun pahit. Nak diikutkan, kalau terpaksa memilih ni, maknanya bukanlah memilih pun, tapi ambil tanpa rela. Berat kes ni. Mungkin ada orang ugut letak pisau di tengkuk yang menyebabkan nak tak nak kita terpaksa ambil juga. Ini boleh pula jadi kes dipaksa namanya. Mungkin juga jika tak dituruti, akan putus kawan, putus saudara, putus bantuan, putus peluang atau macam-macam putus lagilah.

Mungkin juga dalam kes lain, anda terpaksa memilih sesuatu agar tidak mengecewakan pihak yang satu lagi, yakni tiada hati yang akan terluka. Akhirnya, anda jugalah yang akan tertekan dan memendam rasa. Jika baik hasilnya (tidak dapat membuat pilihan sendiri begini), maka legalah anda. Jika sebaliknya, andalah yang akan makan hati. Tiada pilihan sebegini akan hampir pula mendorong kepada sikap tidak memilih langsung.

Dalam situasi tidak memilih langsung, anda cuba berlagak neutral, tidak menyebelahi mana-mana pihak. Mungkin kerana mencari jalan selamat atau mungkin juga seorang yang tidak bertanggungjawab langsung. Bayangkan umpama bot kecil yang sedang anda naiki hampir-hampir karam. Pilihan yang ada ialah mencampakkan barangan yang membebani bot tersebut termasuk beg-beg dan barangan berharga anda agar kapal masih boleh mengapung sementara bantuan tiba. Pilihan yang satu lagi ialah nekad terjun ke laut dengan memakai jaket keselamatan sementara menanti diselamatkan. Jika anda memilih salah satu pilihan tadi, peluang anda selamat dan hidup adalah lebih cerah. Sebaliknya, jika anda langsung tidak membuat mana-mana pilihan, suasana kecelakaan tadi akan terus juga berjalan tanpa bertangguh lagi lalu menelan anda dan barangan anda ke dasar laut.

Di kebanyakan masa anda memang perlu memilih, cuma dalam beberapa kes terpencil, anda tidak perlu memilih langsung, yakni tentu sekali dalam kes-kes yang membawa kepada kemaksiatan, dosa-dosa besar atau juga kemudaratan diri. Jika anda ditawarkan antara wanita untuk dijimak ataupun arak untuk diteguk, tentu sekali anda ditegah oleh agama untuk membuat mana-mana pilihan. Itu pasti sekali akan membawa kepada kecelakaan dalam hidup, kalau tidak sekarang, mungkin beberapa karang kemudian.

Mozar : Musim memilih kerajaan untuk penggal baru hampir-hampir tiba. Pilihlah dengan hati dan naluri yang meletakkan kepentingan agama di hadapan sekali. Bila agama terpelihara, segala yang lain akan turut selamat sejahtera. Kemudian barulah memilih kerana keturunan, bangsa, negara, kebajikan, harta benda serta apa-apa jua perkara yang membawa kebaikan sejagat, untuk sekurang-kurangnya bagi tempoh 5 tahun yang mendatang.

Sejuta Duit Jatuh (RM1,000,000 Money Drop) : Rancangan TV yang benar-benar menduga akal, pengetahuan dan kebijaksaan memilih. Tersilap pilih, duit jatuh berdebuk.
 

Wednesday, March 20, 2013

Jangan Nak Mengeboom Sangatlah!

Kebaboommm! Dia mengeboom lagi. Elok-elok cerita tu tentang orang jatuh basikal dah pula jadi cerita orang jatuh motor ataupun jatuh kena gesel dengan lori babi. Sengaja nak menyedapkan cerita. Biar bertambah perisa. Biar semua orang yang mendengar terlopong terngangah (jaw dropping). Kalau tak ditokok tambah takut-takut orang akan bosan dan jatuhlah pula martabat sang penglipurlara.

Orang-orang dulu kala pun sebenarnya banyak menokok tambah cerita lalu disampaikan dari mulut ke mulut sehingga ke generasi hari ini. Bayangkanlah meletup-letupnya cerita asalnya dek kerana digoreng dan dikebaboom dek kaki boom. Wujudlah dongeng itu dongeng ini yang berbagai-bagai warna dan hikayat. Burung garuda yang kecil dikatakan besar dek melihatkan bayang-bayangnya yang besar di tanah.

Zaman dahulukala sekitar tahun 40-50 an, barangsiapa yang pandai berkisah dan pandai mengeboom sudah pasti akan disukai ramai. Masa tu usahkan suratkhabar, internet mahupun televisyen, api letrik pun belum tentu ada. Boring giler duduk di zaman tu, kan? Boring-boring, tidur cepatlah jawabnya setiap malam. Dah le sejuk, gelap pula. Maka anak pun ramailah berderet-deret sebab tak ada kerja lain yang paling best di masa-masa begitu. Tak payah tutup-tutup mata lagi bagi yang dapat pasangan bukan bagai diidam.

Itu dulu, sekarang inipun masih berkembang lagi sikap boom mengeboom ni. Bukan sekadar cakap-cakap mulut, malah boleh dibuat dengan gempak secara maya. Alih-alih riuh senegara kerana si polan bin si polan cucu si polan dah mengeboom membawa cerita-cerita fitnah dan ditambah asam garam secukup rasa. Yang jenis kaki baran, kaki kepoh dan yang huru hara dengan cepat aje boleh menelan bulat-bulat apa yang didengar dan dilihatnya. Huru-haralah seantero dunia dibuatnya.

Sebagai renungan...
Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6).

Lagi satu perangai orang kita ialah bila dengar sesuatu cerita yang belum pasti kesahihannya, berebut nak sampaikan pada orang lain. Akibatnya, sudah pasti cerita itu akan jadi lain. Pernah tak main satu permainan di mana orang pertama disuruh membaca satu ayat atau mesej kemudian perlu pula menyampaikannya secara bisikan pada orang kedua. Begitulah pula orang kedua perlu menyampaikan kepada orang ketiga dan diulang ke orang yang seterusnya. Confirm! bila sampai ke orang yang ke sepuluh, cerita atau mesej asal akan berterabur bagai nak rak, jadi caca marba ataupun ke laut. Begitulah kesan secara praktikalnya bila sesuatu cerita disampaikan dari mulut ke mulut. Orang yang ke berapa ratus juta entah versi apalah yang akan diterimanya.

Di mulut orang kaki boom, cerita yang ala-ala sendu bisa menjadi membuak-buak. Gelak besar berdekah-dekah ataupun geram sampai menumbuk dinding orang-orang yang mendengarnya. Berjayalah tu mengeboom-ngeboom. Sukalah tu orang respon baekk punya. Ingat tak berdosa ke membawa cerita yang tidak benar dan diragui kesahihannya.

(Dipetik dari satu blog yang saya terlupa mencatat rujukannya) Dalam Islam, sesuatu berita benar tetap tidak boleh disebarkan jika orang yang berkaitan cerita itu tidak mahu ia disebarkan kepada orang lain. Menyebarkan berita benar pun dilarang, inikan pula menyebarkan berita tidak benar.
 
Mengenai berita benar dan berita tidak benar yang disebarkan tanpa kebenaran atau kerelaan orang berkaitan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud : “Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)?
Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Lalu Baginda meneruskan sabdanya : Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya.
Lalu ditanya oleh seorang sahabat : Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?’
Rasulullah bersabda lanjut : “Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)

Lagi satu kes, last ni, ada pula jenis orang yang agak-agak nak dikata bodoh-bodoh alang tak juga tapi cukup berani menyampaikan cerita yang didengari atau dibaca tanpa berlapik-lapik. Walaupun tergagap-gagap bercerita, konfiden habis dengan apa yang diceritakannya itu tepat dan jitu. Orang begini kalau cerita yang dibawanya itu jauh menyimpang ke laut pun dia tak akan sedar kecuali disedarkan oleh orang yang memang tahu versi sebenar cerita tersebut. Bahaya juga orang begini, boleh sesat orang yang mendengarnya. Tak pasal-pasal ada yang mengasah parang, mengasah golok dek kerana mendengar ceritawara atau rekayasa sang pencerita. Padahal dia yang dengar info tak betul tapi ada hati nak bercerita kat kengkawan. Atau, boleh jadi juga orang sebegini sebenarnya pekak badak, lain yang disebut, lain pula yang didengarnya.
 
Demikianlah adanya. Ramai sebenarnya orang yang pandai atau suka boom mengeboom ni. Bagi yang sudah kenal benar dengan orang sebegini, sampai mati pun orang takkan percaya cakapnya. Umpama sebuah cerita rakyat Inggeris bertajuk, 'A boy who cried wolf', kisah seorang budak yang suka menipu dia diserang serigala. Bilamana serigala betul-betul menyerangnya tiada siapa yang percaya lagi cakapnya sehinggalah dia akhirnya terkorban diterkam serigala.
 
Mozar : Orang yang suka mengeboom ni bahayanya samalah tarafnya seperti 'Sultan' sos tiram yang sedang bercita-cita mengeboom negeri di bawah bayu tu.

Tuesday, February 5, 2013

Takutkan Manusia Vs. Takutkan Allah

Siapa takutkan Allah lebih dari takutkan manusia sila angkat tangan! Cewah, semua angkat tangan walaupun tak berapa nak lurus, ala-ala berlagak warak. Betul ke takutkan Allah, susah nak percaya kan? Ada la kot 1 dalam 15 orang. Kalau tak percaya mari sini saya bongkarkan kes-kes yang berkaitan untuk renungan kita bersama. Bagi yang benar-benar takutkan Allah mesti hidung kembang kembi semangkuk, cuma awas jangan jadi riaklah pula. Takut dengan Allah bermakna takut nak riak-riak juga kan? Ok dah sedia! Mari kita semak...

1) Bila terdengar seruan azan yang mendayu-dayu sambil di masa yang sama terdengar lagu latar drama petang-petang yang mendayu-dayu, yang mana satukah yang akan kita abaikan atau tinggalkan? Jawab la sendiri. Takut miss jalan cerita ke, takut Allah marah?

2) Bila cikgu bagi buat kerja sekolah buat sendiri-sendiri, berapa ramai dari kita yang meniru bulat-bulat dari kerja kawan-kawan atau ciplak dari mana-mana sumber? Sedangkan Allah sentiasa dok perhati aje kat kita. Takutkan cikgu marah lebih dari takutkan Allah marah?

3) Bila tiba-tiba kita terserempak dengan sekeping duit RM50 di atas lantai, kita kebas semacam aje, tak tanya-tanya dah siapa gerangan empunya. Padahal ikut hukum kena iklankan dulu dan tunggu sampai setahun baru boleh jadi milik kita. Jaga-jaga, kalau kita jumpa duit dan terus ambil, kita mungkin sekali akan hilang sejumlah wang yang lebih besar pula di lain masa.

4) Anda cuba mencuri barangan di kedai runcit ataupun pasaraya dengan penuh cekap dan berhati-hati. Tapi sedarkah anda bahawa di celah bedah mana sekalipun anda menyorokkan barang curi tersebut, Allah tetap dapat melihatnya. Itupun ramai juga yang telah terkantoi terakam dalam CCTV. Contohnya, kes susu kangkang. Takutkan CCTV ke, takutkan Allah?

5) Kita terkejar-kejar ke tempat kerja takut-takut kalau punch card merah, kena bambu dengan bos ataupun kena potong gaji. Sebaliknya kita buat muka tenang dan tak bersalah kalau solat kita dilewat-lewatkan sampai 2, 3 jam sekalipun. Yang tak pernah bersolat langsung tu pula, memang dia tak rasa pun yang Allah tu benar-benar wujud gamaknya. Siapakah yang lebih besar di sini? Bos, anda atau Allah?

6) Satu lagi hal tentang abaikan solat ni banyak terjadi kepada budak-budak asrama. Depa ni bersolat sebab takut kena hukum dengan warden ataupun takutkan Allah? Jangan rasa yang depa tu masih muda depa boleh dimaafkan begitu sahaja oleh Allah s.w.t. Dah banyak dah kejadian di mana yang tak sempat tua lagi dah meninggal ataupun sakit teruk. Tak kesampaian la azam bila dah pencen baru nak duduk surau atau masjid.

7) Yang perempuan pula, mereka bertudung kerana semua orang di sekeliling mereka bertudung ataupun kerana takutkan perintah Allah? Kalau takutkan Allah, walau keluar selangkah di luar rumah pun mereka tetap akan bertudung. Tak kiralah masa semua orang tak ada pergi kerja ke atau semua orang tengah tengok bola Malaysia Final Piala Dunia sekalipun.

Cukuplah sampai di sini dulu mengomel dan berlagak warak. Sebenarnya 3 setengah dari perkara-perkara di atas saya sendiri pernah terjebak. Cuba teka yang mana? Yang nombor 7 tu tolak tepilah, kerana saya seorang pria (budiman), bagi yang tak tahu. OKlah anggaplah entri kali ini sebagai "bukan marah...nasihat!!!" buat semua yang sudi membaca. Bersamalah kita membentuk akhlak dan budi pekerti yang mulia hari ini agar generasi kita di masa hadapan akan lebih terbela dan tersohor.

Mozar : Masa berada di negara Uncle Sam dulu saya lebih takutkan manusia psiko daripada hantu sebab kat sana tak ada polong, pocong, pontianak, hantu raya, toyol, langsuir, mak lampir, sundel bolong dan bapak segala hantu. Terpengaruh dengan filem le ni. Hantu-hantu kat sana tak seseram hantu Made In Malaysia. Habis-habis ada Evil Dead, Exorcist atau Dracula yang masih sarat merupa manusia yang hodoh.

Tuesday, January 8, 2013

Berperang Dengan Diri Sendiri Dulu...

...Sebelum nak berperang dengan orang lain. Perang memerangi ini memang sifat semulajadi yang bakal terbit andai jiwa telah diresapi perasaan amarah yang meluap-luap. Jiwa manusia ini memang mudah terusik apabila dilukai, dicabar atau disakiti. Marah juga kadangkala boleh terbit walaupun tanpa usul periksa terlebih dahulu. Jika benar dan jitu apa yang diserang itu, teruskan usaha yang murni itu agar kebenaran akan tertegak. Jika samar-samar, balik duduk berbincang dulu. Esok-esok baru serang pulak, sampai benda yang diserang betul-betul telah menikam, menindas dan mencengkam. Janganlah pula hanya berani bila berperang beramai-ramai, bila sorang-sorang sembunyi tangan, sembunyi taring, sembunyi belang. Biasalah, antara berperang dan juga mengamuk ada berbeza sedikit. Mengamuk boleh jadi tindakan seorang diri tapi memerangi adalah satu daya usaha berkelompok.

Cuma perlu diingat wahai penyerang, sebelum berperang dan memerangi, perangilah diri kamu sendiri dahulu. Perangi hawa nafsu yang jahat dalam diri terlebih dahulu. Buang sifat Mazmumah dalam diri dahulu, boleh? Kalau tak mampu, habis macamana? Lebih parah lagi kalau tak sedar langsung adanya sifat-sifat kotor dan keji yang telah bertapak sekian lama dalam diri. Kaji diri sendiri dahulu barulah tahu rohani kita cukup utuh atau tidak untuk berperang. Jika kaji punya kaji tak ada langsunglah misalannya sifat-sifat tak elok dalam diri, kaji pula amalan soleh kamu. Larat ke mengangkat gebar di subuh hari tatkala azan subuh bergema, larat ke mengangkat wuduk di subuh yang hening dingin, larat ke mengangkat tangan anak bini yang menindih di subuh hari, atau paling kuranglah, larat ke mengangkat takbir Qabliah atau Ba'diah setiap kali solat-solat fardhu? Kalau larat ataupun terlebih larat barulah 'takbir' kita akan laksana halilintar di jalan-jalanan. Sesiapa jua yang mendengar pasti gerun dan kecut perut.

Bertanya lagi dalam diri hendaknya, apakah sudah sarat ilmu di dada, tentang ilmu Fekah atau ilmu Tauhidnya, atau paling kurang ilmu Tajwid yang betul. Sudah teguhkah iman dan tawadduk kita? Sudah maniskah akhlak dan perkataan-perkataan kita? Bukan apa, bila telah tertakluk apa yang ingin ditakluki maka sudut gelap dalam diri tidak akan mudah menguasai. Kalau setakat sama sedondon dengan sang 'pengalah' perang, tak gunalah menjadi sang penakluk. Sudah cukup berimankah kita bila melihat hartanah serta wang ringgit yang bertimbun-timbun. Perkara wang ringgit ini sebetulnya memerlukan iman yang lain, fasa yang lain. Mudah sekali gelap mata bila melihat wang ringgit walaupun amalan soleh sudah tip top. Seringgit dua pun boleh terliur, inikan sejuta dua atau sebilion dua. Jika tidak pun sudah cukup amanahkah kita untuk membayar walau sekecil duit masuk tandas bila penjaganya tiada di pintu masuk? Ataupun sudah terbayarkah yuran perkhidmatan syarikat yang mencuci tangki-tangki bapak segala najis dan kotoran kita? Kalau sekecil itupun sudah 'fail', lebih baik bermuhasabah diri terlebih dahulu. Tahun depan cuba lagi bila diri sudah bersih sebersih-bersihnya.

Sukar sebenarnya untuk menjadikan diri maksum dari segala dosa dan perbuatan keji. Celik aje mata kita boleh berbuat dosa. Bila nak melelapkan mata juga kita mampu berbuat dosa. Di sekeliling kita tidak terkira banyaknya anasir-anasir penyumbang kepada dosa-dosa. Akan tetapi, untungnya Allah itu Maha Pengampun, bukannya agak pengampun atau ala-ala pengampun tetapi 'Maha Pengampun'. Apa lagi yang perlu kita dustakan daripada Tuan Pencipta kita. Memohon ampunlah banyak-banyak di atas keterlanjuran kita di masa lalu. Untuk menjadi seorang yang masih kekurangan dalam diri di samping masih menerima keampunan Allah, jadilah seorang pendakwah atau penyampai risalah-risalah Allah. Untuk menjadi 'pendakwah', anda tidak perlu menjadi seorang yang telah sempurna segala-galanya kerana memang mustahil untuk kita menguasai segala ilmu di atas dunia ini serta mustahil benar kita boleh terlepas dari melakukan walaupun dosa-dosa kecil sekalipun. Jika hendak menunggu sehingga menjadi seorang yang perfect barulah ingin berdakwah alamatnya sampai mati pun tidakkan mungkin. Seribu tahun takkan mungkin ataupun 'not in a million years'.

Kesimpulannya, berperanglah dahulu menentang sifat-sifat buruk dalam diri yang sentiasa ingin menonjol dalam diri sebelum kita berperang dengan benda-benda yang lain. Jika tidak, usaha kita itu akan mudah diperlekeh-lekehkan, diejek-ejek atau diayam-ayamkan oleh orang lain. Bak kata orang, 'canggih-canggih udang tahi di atas kepala' ataupun 'berkokok berderai-derai, ekor bersalut najis'.

Mozar : Pernah main perang-perang aje masa kecil-kecil. Penat buat sound effect pakai mulut. Buang air liur je, musuh tak juga mati-mati.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...